
Berikut antara objektif perhimpunan sejuta umat cegah murtad yang disenaraikan oleh penganjur:
b. Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
c. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
d. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
e. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
f. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Kalau dilihat matlamat di atas ia bukanlah satu bentuk demonstrasi tetapi lebih berupa majlis ceramah penerangan kepada mereka yang sudi menyertai perhimpunan tersebut. Lihat web mereka di sini.
Kalau dilihat liputan media serta komen dari berbagai pihak, ia seolah-olah satu usaha demo beri amaran pada orang bukan Islam serta nak tunjuk kuat yang ternyata terpesong dari matlamat sebenar perhimpunan tersebut.
Tambahan pula, orang seperti YB Zul Kulim tidak menjadi penceramah jemputan dalam perhimpunan itu. Harap-harap ia tidak juga menjadi penceramah tambahan dalam perhimpunan nanti. Ini di sebabkan YB Zul adalah jenis manusia yang asyik menyalahkan semua orang lain melainkan dirinya sendiri, terutamanya mereka yang tidak menyokong Umno.
Daripada tinjauan sebelum ini serta cerita-cerita para pendakwah, mereka yang murtad majoritinya tidak ada kena mengena dengan kefahaman akidah atau kepercayaan. Maksudnya mereka bukannya murtad atas dasar akidah agama lain lebih baik daripada Islam, malah tidak pernah terlintaspun dalam kepala benak fikiran mereka yang terjebak untuk memikirkan tentang ilmu ketuhanan atau ilmu Tauhid.
Kebanyakan mereka tidak pernah terlintaspun bahawa mereka hidup di muka bumi ini sebagai khalifah Tuhan. Segala tindak tanduk mereka adalah untuk Tuhan dan semuanya yang mereka buat adalah untuk mendapatkan keredhaan Tuhan.
Jikalau matlamat seperti yang dinyatakan di atas sekali sekala terlintas di fikiran mereka, barang tentu tak akan sesekali mereka akan murtad kerana Islam telah menyediakan hujah yang cukup rasional, kuat dan jitu bagi menjawab semua persoalan tersebut.
Malangnya mereka terikut-ikut untuk murtad atas dasar, matlamat sementara dunia seperti rasa cinta kasih sayang pada makhluk, rasa nikmat sementara seperti kehidupan yang lebih selesa dan rasa disayangi dan dibelai oleh mereka yang mempengaruhi mereka.
Itu semua telah menghanyutkan mereka tambahan pula ramai dikalangan orang Islam telah hilang rasa cinta sesama saudara seIslam dan masing-masing lebih cenderung menjaga tepi kain sendiri nafsu nafsi. Kita jarang ziarah kekawan, jarang bertanya kesusahan jiran malah tak sudi meluangkan masa mendengar kesusahan orang.
Bagi yang berserban besar bertaraf ustaz pula tak ada masa hendak memahami golongan marhaen yang tidak mengikuti ceramah atau kuliah agama mereka. Golongan tersebut sentiasa dipandang serong dan di cemuh kerana sudahlah miskin merempat, jahil dan jauh daripada masjid dan surau pula. Maka golongan itu makin ke tepi dan ke tepi yang akhirnya terjun ke jurang yang dalam.
Bagi mereka yang sentiasa berkopiah dan mengulang alik ke masjid dan surau ada juga yang mengamalkan perangai yang sama seperti yang disebutkan di atas dalam pergaulan. Yang tidak sealiran dengan mereka atau yang liar sedikit di pandang dengan bibir serong dan tidak mahu didekati. Tambahan pula masyarakat segolongan dengannya akan memandang serong jika dia dengan berkopiah sekali sekala berbual mesra dengan golongan yang dianggap liar itu. Makin jauhlah golongan liar itu menjadi lebih liar.
Hidupkan semula budaya ukhwah yang kuat sesama saudara Islam maka akan banyaklah selesai semua masalah umat Islam di negara kita sekarang ini. Hilangkanlah amalan berkasta dalam masyarakat kita agar benteng yang menghalang silaturahim dapat dihancurkan.