16 November 2011

ADUN DAP Ditendang Keluar



AYER KEROH – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang dihalang memasuki dewan untuk Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dun Melaka Ke-12, di Seri Negeri, dekat sini semalam. Ketiga-tiga wakil rakyat dari DAP itu tidak dibenarkan masuk selepas sidang dewan Julai lalu memutuskan kesemua mereka digantung enam bulan bagi menghadiri dewan selepas melanggar peraturan dewan apabila mencetuskan kekecohan.

Bagaimanapun, semalam, dua Adun berkenaan tetap menghadirkan diri untuk menyertai sidang dewan, bagaimanapun terpaksa pulang hampa selepas dihalang petugas dewan sebagai menurut arahan Speaker Dun, Datuk Othman Mohamad sebelum ini.

Khoo Poay Tiong (DAP - Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (DAP - Banda Hilir) tiba di dewan kira-kira 9.30 pagi dan tetap berharap supaya dibenarkan masuk walaupun sebagai pemerhati, namun tidak dibenarkan petugas dewan. Sementara, seorang lagi Adun, Goh Leong San (DAP - Kesidang) tidak kelihatan.

Kedua-dua mereka kemudian pergi ke satu lagi pintu masuk dewan, bagaimanapun tetap tidak dibenarkan masuk menyebabkan kedua-dua Adun itu mengambil keputu­-san untuk pulang saja. Berikutan itu, sidang dewan semalam yang dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini hanya dihadiri wakil rakyat di kalangan Barisan Nasional (BN).

Poay Tiong ketika ditemui media selepas itu berkata, tindakan penggantungan itu menyebabkan beliau tidak dapat membawa suara rakyat untuk dibahaskan pada persidangan. “Saya tidak dapat menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat kerana tidak boleh berada di dalam dewan.

“Saya juga perlu memberitahu rakyat bagaimana bajet ini dibentangkan tetapi kecewa tidak boleh berbuat demikian. “Rasanya tidak adil dan tidak demokrasi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Seri Negeri, di sini semalam.

Julai lalu, tindakan penggantungan dikenakan ke atas kesemua wakil rakyat pembangkang itu selepas berlaku kekecohan semasa dewan menyambung persidangan. Ia bermula apabila Othman mengumumkan hanya usul tergempar BN mengenai perhimpunan haram di ibu negara akan dibahaskan, tetapi usul DAP berhubung perjudian bukan bagi kaum Cina ditolak./sh

No comments: