23 November 2011

Akta baru ganti ISA kekalkan ciri penahanan tanpa bicara



PUTRAJAYA: Akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac tahun depan tetap mempunyai ciri-ciri penahanan tanpa bicara bagi menangani aktiviti militan dan keganasan yang mengancam negara.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata berlainan dengan ISA, dua akta baru yang masih dikaji itu dijangka menerapkan beberapa perubahan seperti dalam soal tempoh tahanan, notis kepada keluarga yang ditahan dan keperluan bagi mereka membuat rayuan.Menurutnya, dua akta itu akan mempunyai persamaan dengan pendekatan dalam Akta Patriot Amerika Syarikat, Akta Pencegahan Keganasan Britain dan Akta Antikeganasan Australia yang dikuatkuasakan di negara-negara yang terkenal dengan perjuangan hak asasi manusia itu.

'Oleh itu, jangan sesekali mengajar saya tentang apa yang perlu dilakukan jika anda sendiri gagal melakukannya.'Terdapat rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo tanpa melalui perbicaraan, jangan bersikap pilih bulu dan hipokrit,' katanya di sini kelmarin.

September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan kerajaan akan memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat serta menggubal dua undang-undang baru bagi mengimbangi hak asasi individu, kebebasan sivil dan keperluan menjaga keamanan awam.

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin berkata, pihaknya akan tetap menggunakan ISA bagi menangani aktiviti pengganas sehingga dua akta baru yang menggantikannya dikuatkuasakan.'Sekiranya negara kita menjadi sasaran pengganas dan pengebom, rakyat akan marah kepada kerajaan.'Segelintir orang bagaimanapun mempertikaikan tangkapan yang dilakukan, kita akan beri penjelasan lebih teliti apabila keadaan mengizinkan dan orang ramai akan tahu bahawa tangkapan dibuat bersandarkan kepentingan orang ramai,' katanya.

Sementara itu, Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dibentangkan bagi bacaan pertama di Parlimen semalam.

Fasal 4 rang undang-undang itu antara lain menetapkan seseorang di bawah umur 21 tahun tidak boleh menjadi penganjur manakala kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan.Mana-mana orang yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak pergi ke perhimpunan juga dianggap telah melakukan kesalahan.Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM20,000 ($8,185). -- Agensi.

No comments: