Ternyata perjuangan hak asasi merupakan perjuangan yang tulus dan murni. Ia sejajar dengan perisytiharan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Dalam konteks negara kita, setiap rakyat dijamin dalam perlembagaan akan hak-hak tertentu yang jelas, termaktub, harus dipertahan dan diperjuangkan. Antaranya menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun, berpersatuan, hak beragama dan juga hak-hak yang bersangkutan dengan pendidikan. Mana mungkin kita tidak mahu hak yang sepatutnya kita peroleh dinafikan.
Kebimbangan yang tidak masuk akal
Tiba-tiba, kita diberitahu mengenai sebuah kebimbangan yang tidak berasas. Sama sekali tidak boleh diterima dan dilihat terdesak dari seorang yang pernah terbukti menyalahguna kuasa dan melanggar hak asasi manusia iaitu mantan Ketua Polis Negara Rahim Noor.
Pada perhimpunan agung PERKASA kedua yang dijalankan baru-baru ini, Rahim Noor secara terang menyatakan kebimbangannya pada gelombang hak asasi yang memungkinkan negara jatuh dan terjajah malah dikaitkan pula dengan kebangkitan komunisme, agenda Yahudi, kontrak sosial dan sebagainya.
Semua ini adalah gambaran yang meleset pada nilai-nilai sejagat dan dilihat menyebarkan doktrin yang salah, tidak matang dan secara tidak langsung mampu untuk mewujudkan suasana yang tidak senang di kalangan rakyat.
Agama baru, human right?
Di kala rakyat mula celik dan semakin bijak; semakin sedar untuk keluar dari kepompong yang menindas, rakyat telah bangkit dan menuntut hak-hak mereka dibela; soal keadilan, pilihanraya yang bersih, kebebasan bersuara, gaji minima, kenaikan harga barang, isu diskriminasi wanita dan gender, kemiskinan, keselamatan dan sebagainya, perjuangan untuk menuntut hak asasi telah dipandang sesuatu yang berbahaya. Kita patut berasa hairan, apa dan siapa sebenarnya yang berbahaya?
Sebagai seorang tokoh yang pernah berkhidmat dalam PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang, Rahim Nor cuma memalukan dirinya sendiri. Dia telah silap. Ibarat perangkap makan tuan. Dengan dakwaan perjuangan hak asasi yang dikaitkan sehingga cuba mempersoalkan institusi beraja, kita semua harus ketawa.
Penghinaan terhadap institusi beraja
Sejarah membuktikan siapa sebenarnya yang mempersoal kuasa raja sehingga menyebabkan krisis perlembagaan tahun 1983 dan 1991. Pindaan perlembagaan telah dibuat oleh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengurangi kuasa sultan dan raja. Krisis perlembagaan tersebut sangat jelas menunjukkan siapakah yang telah menyentuh kuasa raja, bukannya Aziz Bari yang cuma memberi pandangan beliau terhadap titah sultan Selangor sehingga dianggap sebagai penderhaka.
Pembodohan atau perpaduan?
Dalam menyentuh soal "perpaduan Melayu" dan kontrak sosial, kita harus fahami apa yang telah menyebabkan isu ini berbangkit dan apa pula rasional untuk "bersatu" di bawah pentadbiran yang korup dan menindas.
Perkara ini tidak perlu dijelaskan secara terperinci, kita semua telah sedia maklum bagaimana sejumlah wang negara tiris akibat salahguna dan rasuah dalam laporan audit negara 2010 baru-baru ini. Ia merupakan isu yang berbalik kepada soal integriti, ketelusan dan kecekapan mengurus kerajaan.
Apakah kita sebagai pembayar cukai mahu wang kita yang dipungut setiap hari dan setiap tahun ini disalahguna oleh kerajaan? Tentu sekali tidak. Apakah Rahim Noor cuba untuk menutup isu sebenar yang terjadi?
Hak asasi manusia, hak kita
Kita harus bertegas. Soal perjuangan hak asasi manusia sama sekali tidak ada kena mengena dengan soal "bangsa" apatah lagi selama ini lebih separuh abad rakyat telah memberi kepercayaan dan mandat mereka kepada pentadbiran sedia ada. Dan, apabila rakyat mula bersuara bertanyakan hak asasi mereka, suara-suara rakyat ini dituduh sebagai ancaman dan "menghakis dasar yang dipersetujui selama…" dan sebagainya. Tuduhan sebegini mengarut!
dari: MerdekaReview