25 December 2011

Tegakkan Undang-undang, Rela Gadai Nyawa

DUNGUN – “Walaupun kejadian itu hampir meragut nyawa saya, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya sebagai pegawai polis untuk terus menegakkan undang-undang di negara ini,” kata inspektor polis yang cedera di perut setelah ditikam dengan pisau oleh seorang penjenayah ketika cuba menahan suspek terbabit dekat sini, malam semalam.

Inspektor Wahid Sujani, 32 mengalami luka sepanjang kira-kira 20 sentimeter dari dada hingga perut akibat ditikam dengan pisau lipat tajam ketika bergelut dengan seorang penjenayah di hadapan kedai 24 jam, Jalan Baru Pak Sabah, dekat sini kira-kira jam 10.20, malam semalam.

Menurut Wahid yang kini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kejadian luar dugaan itu berlaku ketika dia bersama beberapa anggotanya cuba menahan dua suspek bermotosikal yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun sebaik dia memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis, salah seorang suspek terbabit dikatakan secara tiba-tiba mengeluarkan pisau lipat berukuran 17 sentimeter lalu bertindak menyerang dan menikam ke arahnya.

“Nasib baik saya sempat mengelak, jika tidak saya pasti cedera parah dan tidak mustahil boleh membawa maut. Bagaimanapun saya cedera setelah terkena pisau suspek terbabit,” kata Wahid yang menerima rawatan pesakit luar di Hospital Dungun.

Suspek kemudiannya melarikan diri melalui celah bangunan sebelum sempat menaiki sebuah kenderaan di lokasi berdekatan.

Wahid berkata, selepas kejadian itu, beberapa anggota lain yang tiba di lokasi setelah dimaklumkan sempat mengejar suspek sebelum berjaya menahan penjenayah terbabit ketika bersembunyi di Hospital Dungun.

Kedua-dua suspek termasuk yang bersenjatakan pisau itu ditahan untuk siasatan lanjut, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai pertalian adik beradik itu disyaki turut telibat dengan kes samun yang dilaporkan di Balai Polis Dungun selain turut disahkan positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

Berkongsi pengalaman, Wahid, pegawai polis berasal dari Tawau, Sabah yang juga bapa kepada seorang cahaya mata menceritakan dalam kes berasingan pula pada hari yang sama, dia juga nyaris menjadi mangsa amukan seorang penjenayah yang bertindak ganas melibas dengan parang panjang ketika cuba menahan suspek terbabit dalam satu operasi dekat Alor Tembesu, berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad, jam 2 petang kelmarin.

Menurut Wahid, dalam kejadian berkenaan, suspek yang bersenjatakan parang panjang itu sempat melarikan diri sebelum menyamun sebuah motosikal di lokasi berdekatan.

Katanya, selama empat tahun berada dalam pasukan polis, banyak dugaan yang dilaluinya, terutama ketika berhadapan penjenayah dalam beberapa operasi bersama anggotanya.

Kata Wahid, dalam kejadian beberapa bulan lalu, dia cedera di kaki setelah dirempuh dengan motosikal oleh seorang penjenayah ketika cuba menahan suspek disyaki terlibat dengan pengedaran dadah berdekatan Stesen Bas Kuala Dungun.

Akibat kejadian itu, Wahid yang cedera di kaki terpaksa diberi cuti sakit selama beberapa hari sebelum dapat kembali meneruskan tugasnya.

Sementara itu, mengulas kejadian terbabit, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, kejadian seumpama itu merupakan sebahagian daripada tugas polis untuk memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram.

Katanya, pengorbanan pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang merupakan seseuatu yang tidak ada nilainya, malah kadangkala terpaksa mempertaruhkan nyawa ketika berhadapan penjenayah berbahaya.

No comments: