06 January 2012

Pencapaian Cemerlang Kerajaan BN di Selangor

KLANG : Usaha gigih sekumpulan penduduk kampung di sini tidak ke mana apabila tanah yang mereka teroka dan bercucuk tanam selama 20 tahun akhirnya dipercayai diseleweng dan diberi kepada orang lain semasa pentadbiran Barisan Nasional(BN) Selangor yang lalu.

Tanah seluas 157 ekar berhampiran Batu Tujuh, Jalan Kebun itu diusahakan 63 orang penduduk Kampung Jalan Kebun sejak tahun 1984.

Akan tetapi geran milik tanah tersebut diberikan kepada individu-individu yang tidak kenali pada tahun 2002. Ini berlaku walaupun penduduk kampung telah memohon hak milik tanah itu 18 tahun dulu.

Wakil kumpulan peneroka itu, Abdul Aziz Rashid mendakwa lesen hak milik sementara (TOL) telah diberikan kepada individu yang bukan penduduk kampung malahan bukan orang yang mengusahakan tanah itu.

Tindakan tersebut menunjukkan bagaimana pemimpin BN dengan sewenang-wenangnya mengurniakan tanah percuma kepada kroni-kroni mereka, dakwanya.

Ketika ditemui seorang dari peneroka tanah itu, Haripin Tauhid, 49, menceritakan latarbelakang kawasan tersebut.

"Tanah ini dulu hutan terbakar dan belukar. Kita pun tidak ada akitiviti dan kawasan ini tak maju, jalan ini pun jalan mati. Sambil mengisi masa lapang, kita bercucuk tanam dan kalau boleh, masa itu kita nak mohon supaya tanah ini diberikan hak milik pada kita," ceritanya.

Sementara itu, seorang lagi peneroka, Manaf Pamar memberitahu mereka meneroka tanah ini di awal tahun 1980an sehingga tahun 2000.

"Asal usul tanah ini memang hutan terbakar jadi ramai-ramai penduduk mengerjakannya. Seorang satu ekar. Tetapi akhirnya musnah, tak apa benda yang kita dapat," kata Manaf yang berharap dapat memperjuangkan kawasan yang diteroka dahulu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pada tahun 1984, bekas Adun mereka Datuk T M Thurai berjanji kepada peneroka untuk memohon dan mendapatkan milik tanah itu.

Apabila usaha itu menemui jalan buntu, penduduk kemudianya berjumpa dengan bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Datuk Salamon Selamat pada 1995 untuk meminta pertolongan tetapi tiada kata putus.

Akhirnya, peneroka mengambil keputusan berjumpa dengan bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun 2000.

"Saya pergi ke rumah Khir Toyo dan tunggu hampir tiga jam dan akhirnya saya dapat berjumpa dengan Khir Toyo di rumah beliau dan saya memberi surat yang sama.

"Dia berjanji dan beritahu pada saya dan rakan-rakan lain, Aziz sekiranya tanah ini tidak dimiliki mungkin akan diluluskan kepada peneroka. Tetapi kalau ada pihak pihak lain mendakwa dia mempunyai milik dia tidak akan meluluskan kepada individu.

"Kalau ada permohonan dia akan ambil tanah tersebut untuk dimajukan untuk buat perumahan.

"Bermakna seorang akan mendapat rumah pada harga yang berpatutan," Abdul Aziz berkata.

Tetapi, permohonan mereka senyap dengan begitu sahaja hingga dua tahun kemudian apabila Abdul Aziz didatangi seorang individu yang bukan daripada kampung itu dan bukan seorang peneroka.

"Saya terkejut. Macam mana orang yang tidak meneroka tanah yang tidak tahu lokasi tanah boleh dapat geran tanah dengan pelan.

"Di sini saya nampak ada satu penyelewengan dan pemberian hak milik tanah. Itu saya nak kata. Di mana kejujuran kepimpinan dahulu, kepimpinan barisan nasional khususnya yang sepatutnya membela nasib rakyat," Abdul Aziz berkata.

Menurut Abdul Aziz, pada masa sekarang sebahagian daripada tanah tersebut telah di wartakan sebagai tanah pertanian revolusi hijau bagi kawasan Johan Setia.

Difahamkan pemegang TOL yang bukan dari kumpulan peneroka tersebut telah menjual lesen mereka kepada pihak lain.

Abdul Aziz berharap pentadbiran Pakatan Rakyat dapat mengambil perhatian terhadap masalah mereka. Beliau berkata kumpulan peneroka itu sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.

No comments: